Ketua Menteri Adly Zahari berkata inisiatif itu bertujuan mengurangkan kesesakan trafik dan menggalakkan penumpang berjalan kaki, berbasikal atau memilih pengangkutan awam sebagai alternatif sekali gus mengurangkan kadar pelepasan karbon monoksida di negeri ini. 

"Usaha ini secara tidak langsung dapat memupuk amalan gaya hidup sihat terutamanya melalui aktiviti berbasikal selain memudahkan orang ramai khususnya pelancong menikmati keindahan di tempat-tempat bersejarah di negeri ini. 

"Bagaimanapun, kita akan mengambil kira pelbagai aspek sebelum merealisasikan hasrat ini agar tidak menjejaskan perniagaan dan pihak-pihak yang terlibat kerana paling utama adalah menarik pelancong lebih ramai dengan menyediakan kemudahan secara inklusif kepada mereka," katanya kepada Bernama pada program berbasikal 'Dutch Heritage Melaka' di Jonker Walk, Bandar Hilir di sini hari ini. 

Turut hadir Duta Besar Belanda ke Malaysia Karin Mossenlechner. 

Terdahulu, beliau dan Karin meluangkan masa bersama barisan exco kerajaan negeri dan lebih 200 peserta termasuk rakyat Belanda berbasikal bermula dari Muzium Stadhuys dan berakhir di Jalan Gereja di sini. 

Mengulas mengenai program itu, Adly berkata pihaknya menyambut baik program itu yang bertujuan mempromosikan kebudayaan Belanda di Melaka selain memupuk rasa cintakan alam sekitar.

"Pada masa sama kita turut mempromosikan budaya kita seperti pengangkutan beca yang dihiasi dengan bunga-bungaan serta lengkap dengan muzik kepada rakyat Belanda khusus bagi mereka yang mahu bersiar-siar mengelilingi tempat-tempat bersejarah di sekitar Bandar Hilir," katanya. - Bernama