Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, situasi itu berdasarkan keadaan paras bekalan air Empangan Durian Tunggal yang berada di bawah bacaan kritikal 40 peratus. 

"Jika dilihat, Empangan Durian Tunggal paling teruk terjejas dengan tahap 37.8 peratus berbanding 66.4 peratus di Empangan Jus dan 62.5 peratus di Empangan Asahan yang masih stabil. 

"Pada masa ini, kita masih belum sampai ke tahap untuk catu bekalan air namun jika hujan tidak turun sehingga 15 Jun depan maka catuan akan dilakukan," katanya ketika sidang akhbar Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Adly berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa pelan kontinjensi bagi memastikan bekalan air mencukupi termasuk meminta tambahan bekalan air mentah daripada Johor. 

"Kita telah meminta bantuan Johor melalui kaedah mengepam air Sungai Gersik, Muar ke empangan Durian Tunggal. 

"Kita juga akan menyalurkan bekalan air di empangan Jus ke Empangan Durian Tunggal bagi memastikan bekalan air tidak terganggu terutama pada musim perayaan ini," katanya. 

Menurut Adly, sekiranya bekalan air masih tidak mencukupi, catuan sumber terpaksa dilakukan namun ia hanya melibatkan pengurangan tekanan air dan bukan catuan sepenuhnya. - K! ONLINE