Ketua Menteri, Adly Zahari bagaimanapun berkata, pihaknya belum menetapkan peratusan kenaikan kadar tarif itu kerana ia bergantung kepada hasil rundingan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, SPAN, dalam tempoh terdekat. 

Jelas beliau, sehubungan kenaikan itu juga, kerajaan negeri sedang membincangkan dua kaedah bagi memastikan langkah penambahbaikan itu tidak membebankan rakyat terutamanya golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

"Kenaikan kadar tarif air akan tetap berlaku dan antara faktor kenaikan disebabkan kos penyelenggaran yang semakin meningkat

"Kita bagaimanapun sedang mencari mekanisme dan kaedah terbaik bagi membantu golongan itu termasuk memperkenalkan insentif kepada kumpulan sasaran B40 dan menawarkan formula insentif kepada isi rumah yang melakukan penjimatan penggunaan sumber air," katanya. 

Adly berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri di Dataran Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Omar Jaafar dan Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Seri Roslan Ibrahim.

Rabu lalu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar berkata, kadar tarif air mungkin dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini. - K! ONLINE