Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, kerajaan perlu membentangkan mekanisme kawalan harga ubat tersebut berikutan harganya meningkat setiap tahun.

“Kementerian mendapati harga ubat-ubatan di pasaran meningkat pada kadar 10 hingga 20 peratus setiap tahun dan ia membebankan kerajaan dan orang ramai terutamanya mereka yang tidak berkemampuan. 

“Perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga telah dimulakan sejak sebulan yang lalu bagi merealisasikan pelaksanaan mekanisme harga kawalan ubat tersebut dan ia akan diumumkan pada tahun ini selewat-lewatnya bulan hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Farmasi dan Sains Kesihatan Kali Ke-2 anjuran Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) di sini hari ini.

Turut hadir Dekan Fakulti Farmasi dan Sains Kesihatan UniKL RCMP, Prof. Dr. Ahmad Fuad Shamsuddin.

Dalam persidangan tersebut, seramai 150 peserta dari luar dan dalam negara hadir bagi membincangkan pelbagai topik termasuk farmasi, fisioterapi dan perkhidmatan kesihatan. - K! ONLINE