Operasi yang dijalankan pada pukul 4 pagi tersebut, sepasukan lima pegawai dan 29 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh berjaya mengepung kesemua samseng jalanan tersebut dengan menggunakan lapan buah kenderaan polis. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Abdul Rani Alias berkata, hasil rancangan yang teliti dilakukan pasukannya berjaya menahan 38 samseng jalanan tersebut termasuk seorang mekanik Puspakom dan enam pelajar. 

“Mekanik berusia 20-an itu didapati menyalahgunakan kepakarannya dengan mengubahsuai motosikal yang ditunggangnya. 

“Polis menasihatkan kepada orang ramai yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut agar menggunakannya ke arah kebaikan,” katanya kepada pemberita di sini pagi tadi. 

Tambah Abdul Rani, kesemua mereka yang berusia antara 15 hingga 38 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

“Salah seorang daripada mereka turut ditahan di bawah Seksyen 108 akta sama kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu. 

“Polis akan terus menjalankan operasi seperti ini pada setiap hujung minggu bagi membanteras aktiviti samseng jalanan tersebut,” katanya. 

Dalam operasi tersebut, sebanyak 133 saman dikeluarkan dan 38 buah motosikal disita polis. - K! ONLINE