Mangsa, R. Kubenraj, 19, dilaporkan mengalami kecederaan parah dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Timbalan Penguasa Kamarulzaman Mohd. Din berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 5.50 petang dan sepasukan lapan anggota termasuk komander operasi dikejarkan ke lokasi.

"Pasukan bomba tiba di lokasi 10 minit kemudian dan mendapati berlaku letupan dan kebakaran melibatkan sebuah silinder Gas Oxy-Acetylene.

"Insiden itu turut menyebabkan seorang pekerja lelaki berusia 19 tahun cedera dan dilaporkan berada dalam keadaan koma di Hospital Melaka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, letupan tersebut bagaimanapun didakwa berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi, namun panggilan kecemasan hanya dibuat pada petang ini.

"Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang cedera juga telah dihantar ke hospital oleh rakannya sendiri. 

"Pasukan kami telah melakukan prosedur operasi standard dan selesai pada pukul 6.54 petang. Punca letupan masih dalam siasatan," katanya. - K! ONLINE