Memo bertarikh semalam itu ditandatangani Yang Dipertua MDSB, Mohd. Faizul Fitri Muslil memaklumkan Mesyuarat MDSB Bilangan 3 Tahun 2019 memohon sumbangan RM1 kepada semua ahli majlis dan kakitangan MDSB. 

Potongan gaji RM1 itu akan dilakukan mulai bulan ini hingga Disember depan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim ketika dihubungi pemberita memaklumkan tindakan itu dibimbangi menjadi bahan kempen pembangkang menghentam kerajaan. 

"Tindakan ini seolah-olah kita (kerajaan negeri) dalam keadaan kritikal dan tidak mampu menanggung semua (hutang MDSB). 

"Bagi saya kalau setakat RM1 sebulan untuk warga kerja dan ahli majlis tidak  banyak membantu. Ia tidak hanya sebagai satu simbolik, tetapi sebaliknya menjadi bahan politik serta isu dimainkan pembangkang," katanya di sini. 

Beliau yang merupakan Speaker Dewan Undangan Negeri ( DUN) Selangor menjelaskan inisiatif MDSB adalah berniat baik namun sesuatu perkara yang dilaksanakan itu mestilah mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri.

"Saya yakin pihak kerajaan negeri tidak pernah mengarahkan MDSB meminta sumbangan ikhlas daripada kakitangan dan ahli majlis untuk bersama-sama menampung mengurangkan hutang pinjaman kerajaan negeri," katanya.  - K! ONLINE