Penolong Pengarah Komunikasi Korporat Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBJB, Muhammad Iqbal Arami Mohamed Sharif berkata, jumlah itu melibatkan tunggakan Januari sehingga Disember 2018 membabitkan 14,000 pemilik harta perniagaan dan 47,000 kediaman.

"Secara keseluruhan tunggakan cukai harta bagi tahun ini adalah sebanyak RM120 juta membabitkan 87,000 pemilik harta termasuk pegangan bangunan komersial dan premis kediaman.

"Dari Januari tahun ini sehingga kini kita telah berjaya mengutip RM25.2 juta daripada 26,000 pegangan di kawasan pentadbiran MBJB.

"Kita mensasarkan sejumlah RM30 juta tunggakan cukai harta dikutip dan bagi merealisasikan sasaran ini pihak kita akan jalankan operasi penguatkuasaan secara agresif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam satu operasi ke atas sebuah premis perniagaan di Jalan Padi Emas 4/1, Bandar Baru Uda di sini hari ini.

Dalam operasi itu, MBJB berjaya mengutip tunggakan daripada sebuah premis yang menjalankan aktiviti perniagaan penjagaan dan mencuci kenderaan yang dikesan culas membayar cukai sejak tiga tahun lalu melibatkan RM19,859 cukai harta.

Dalam pada itu, Muhammad Iqbal berkata, pihaknya kini telah mengeluarkan 26,000 surat peringatan berhubung tunggakan cukai harta kepada pegangan bangunan perniagaan dan kediaman.

"Pihak kami menasihatkan agar pemilik atau pemegang harta ini tampil menjelaskan cukai yang tertunggak sebelum pihak kita mengambil tindakan tegas termasuk menyita barangan serta bangunan tersebut," katanya. - K! ONLINE