Beliau yang merupakan Pengerusi PKR Selangor, bagaimanapun menjelaskan belum menerima sebarang surat atau pemakluman daripada Lembaga Displin berkaitan perkara tersebut.

"Saya tidak tahu apa lagi sebab tidak ada maklumat daripada Lembaga Disiplin. Baharu malam semalam (nama disenarai untuk mengadap Lembaga Disiplin). Surat tidak ada, jadi saya tidak boleh responlah," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Selangkah ke Universiti di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Lembaga Displin PKR yang akan memanggil Amirudin serta Pengerusi PKR Selangor, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan beberapa inidvidu lain dalam memberikan penjelasan atas ucapan bersifat kontroversi yang mereka keluarkan sebelum ini.

Amirudin turut meminta mana-mana pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubungnya sehingga surat diterima daripada Lembaga Displin tersebut.

"Saya tunggulah surat itu, hendak cerita apa. Surat belum sampai tidak payah buat spekulasi.

"Sekiranya surat itu dalam bentuk pantun, kita akan jawab pantun dan kalau surat itu ajak main bola, kita akan main bola," ujarnya dalam nada sinis.

Mengulas siapa dalang utama video intim seperti yang dinyatakan dalam ucapannya di kediaman rasminya pada Ahad lalu Amirudin menjelaskan 'mereka' yang dimaksudkan itu bukan seorang, tetapi ramai.

"Tidak ada satu nama pun yang saya sebut... Yang cuak sangat kenapa? Kalau hendak minta penjelasan, saya jelaskan," katanya. - K! ONLINE