Dalam satu kenyataan hari ini, Maybank berkata langkah itu adalah seiring dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurutnya, kadar asas Islam juga akan dinaikkan sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus setahun daripada 3.0 peratus setahun manakala kadar pembiayaan asas Islam turut disemak naik n kepada 6.90 peratus setahun daripada 6.65 peratus setahun.

Kadar deposit tetap Maybank juga akan disemak naik antara 20 mata asas sehingga 25 masa asas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, bank itu akan terus menyokong para pelanggannya bagi memastikan peminjam tidak terjejas secara ketara dan pada masa sama membolehkan pendeposit meraih pulangan sewajarnya bagi deposit mereka.

"Para pelanggan kami juga perlu yakin bahawa bank ini akan terus menguruskan aset serta liabilitinya secara cekap bagi memastikan penetapan kadar faedah itu dilakukan secara bertanggungjawab pada setiap masa," katanya.

Pada Khamis lepas, BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus daripada 3.0 peratus iaitu kenaikan pertama sejak 10 Julai, 2014.

Kali terakhir Maybank melakukan semakan semula BR adalah pada 15 Julai, 2016 apabila ia disemak turun kepada 3.0 peratus daripada 3.20 peratus. - Bernama