Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd. Rosli Ishak berkata, mayat itu ditemui selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 60 tahun pada pukul 10 pagi ini.

"Wanita itu menyatakan apabila dia sampai di kedainya kira-kira pukul 9.30 pagi, dia mendapati tanah di kawasan semak tepi kedai makan usang miliknya terdapat kesan korek dan ditimbus semula serta ditutup dengan pelepah kelapa dan papan. 

"Pihak polis yang tiba di lokasi kejadian menemui mayat tersebut selepas menggali kesan timbus berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mohd. Rosli berkata, mayat wanita itu ditemui dalam keadaan berbalut dengan kain dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk menjalani bedah siasat.

Menurut beliau, motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis dan buat masa ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - K! ONLINE