Mayat Chua Keng Choon, 32, itu ditemukan pukul 10.10 pagi oleh nelayan yang sedang memancing di kawasan tersebut. 

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan dari pemilik bot tersebut terhadap penemuan mayat Keng Choon yang juga tekong bot semasa kejadian tersebut. 

"Sebaik menerima maklumat berkenaan,  Kapal Maritim (KM) Danga telah membawa keluar mayat tersebut sebelum menyerahkan kepada pihak bomba untuk dibawa ke Jeti Nelayan Tongkah di sini. 

"Mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Jelas beliau, operasi mencari dan menyelamat kemudiannya ditangguhkan pukul 7 petang tadi. 

"Kita masih lagi mengesan seorang lagi awak-awak warganegara Myanmar yang turut hilang selepas tercampak dalam pelanggaran bot dan kapal tersebut," katanya. 

Kosmo! Online semalam melaporkan dua nelayan hilang di laut selepas bot dinaiki dilanggar sebuah kapal dagang pada jarak 8.3 batu nautika dari selatan Pulau Carey di sini. 

Kejadian berlaku pukul 2 pagi ketika bot tersebut yang dinaiki seorang tekong warga tempatan dan tiga awak-awak warga Myanmar sedang menangkap ikan sekitar kawasan tersebut. - K! ONLINE