Pengarah Zon Maritim Kemaman, Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, mayat Chong Yuen Khang, 36, ditemui terapung oleh bot nelayan tempatan pada kedudukan kira-kira 30 batu nautika dari perairan Kerteh, Kemaman pada pukul 7.30 malam.

"Penemuan mayat itu telah dimaklumkan kepada sebuah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang melakukan rondaan di perairan berkenaan.

"Mayat tersebut kemudiannya diambil oleh sebuah kapal Maritim Malaysia (APMM) sebelum tiba di Jeti Markas Maritim Kemaman, Kuala Kemaman pada pukul 6.18 pagi tadi (semalam)," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Kosmo! hari ini melaporkan keriangan lima lelaki melakukan aktiviti memancing laut dalam bertukar tragedi apabila bot nelayan yang disewa mereka karam dibadai ribut.

Tiga daripada mereka iaitu Choo Yaw Wu, 48; Lok Win Thye, 28; dan Tan Buck Choon, 51, terpaksa berpaut pada tong ikan di samping mayat rakan mereka yang turut terkorban, Chan Kai Wai, 51, selama lebih 15 jam sebelum diselamatkan APMM pada pukul 1 petang semalam. - K! ONLINE