Ketua Polis Daerah Kerian,Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu selepas menerima aduan daripada orang awam menerusi panggilan telefon pada pukul 9.35 pagi tadi sebelum bergegas ke lokasi tersebut.

Jelasnya, siasatan awal mendapati, lokasi penemuan mangsa berhampiran dengan sebuah kawasan kolam udang dan ia terletak kira-kira 500 meter dari tepi jalan.

"Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian, polis telah menemui mayat seorang lelaki yang sudah berbau dan tidak berpakaian namun hanya berseluar dalam berada dalam keadaan tertiarap di atas lumpur.

"Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai bersama mangsa dan identiti lelaki itu juga tidak dapat dikenal pasti selepas wajahnya  telah reput," katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Omar Bakhtiar, polis juga masih tidak dapat mengenal pasti mayat mangsa sama ada orang tempatan atau warga asing.

Ujarnya, selain berbau, pemeriksaan fizikal luaran yang sudah berulat mendapati tisu dan kulit badan telah tertanggal daripada tulang.

"Bagaimanapun, tiada sebarang senjata ditemui di lokasi kejadian dan tiada sebarang luka atau kesan pada badan mangsa yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat. Sampel tulang dada telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk  ujian deoksiribonukleik (DNA)" katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - K! ONLINE