Mayat mangsa ditemui terapung oleh penduduk kampung kira-kira pukul 3 petang, dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari berdasarkan keadaan mayat yang sudah membengkak dan berbau busuk. 

Difahamkan, mayat berkenaan mempunyai kesan terbakar pada bahagian muka ditemukan dalam keadaan tidak berbaju dan berseluar jeans pendek. 

 Mangsa dipercayai berusia 20-an hingga ke 30-an dan identitinya belum dikenalpasti.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menaikkan mayat berkenaan kira-kira pukul 6 petang sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Anis Pasir Puteh. 

 Seorang penduduk kampung yang enggan namanya disiarkan berkata,  laluan anak sungai di situ memang agak sunyi kerana berdekatan ladang kelapa sawit.

  "Setakat ini saya tidak ada dengar penduduk di sini dan sekitar ada kehilangan ahli keluarga dan ianya adalah
kali pertama penemuan mayat berlaku di kawasan ini," katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd. Azmir Damiri ketika dihubungi mengesahkan kejadian. 

 Bagaimanapun, katanya, maklumat lanjut akan diberikan selepas selesai urusan bedah siasat ke atas mayat berkenaan bagi mengesahkan punca kematiannya. - K! ONLINE