Penemuan mayat lelaki berusia dalam lingkungan 30-an pada pukul 4.30 petang itu telah menimbulkan spekulasi yang tular di media sosial kononnya dia telah dipukul hingga mati kerana mencuri pisang.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, mayat lelaki tersebut ditemui tertiarap di lokasi kejadian tanpa sebaranh dokumen pengenalan diri.

"Memang kita menjumpai pisang berhampiran mayat mangsa yang diandaikan berusia dalam lingkungan 30-an namun siasatan lanjut sedang dilakukan untuk memastikan motif kematiannya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Tebakang, Bukit Payung dekat sini hari ini.

Mohd. Suhaimi berkata, mayat lelaki terbabit telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, orang awam yang mengenali mangsa atau mempunyai maklumat tentang kejadian menimpanya di minta tampil ke balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya. - K! ONLINE