Penemuan mayat lelaki berusia lingkungan 35 hingga 40 tahun berhampiran Kampung Jerangkang itu dimaklumkan kepada polis pada pukul 11.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin berkata, mangsa memakai baju jersi warna kuning dan berseluar pendek warna biru.

"Pemeriksaan pada tubuh mangsa oleh pihak forensik mendapati lelaki terbabit hanya mengalami kecederaan ringan seperti calar-calar pada badan.

"Pemeriksaan lanjut polis di tempat kejadian tidak menemui sebarang senjata dan barangan lain yang melibatkan mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk dibedah siasat dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Setakat ini kematian tersebut diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian sebenar," ujarnya. - K! ONLINE