Pasukan penyelamat menemui mayat Chanchal Lahiri lewat petang semalam di sungai Hooghly, menurut timbalan komisioner divisyen pelabuhan polis Kolkata, Syed Waquar Raza kepada AFP.

Lelaki berusia 40 tahun itu dikenali dengan nama pentasnya Jadugar Mandrake diturunkan ke dalam sungai di sini Ahad lalu dengan dia memakai kostum berwarna kuning dan merah.

Bagaimanapun, dia gagal untuk timbul ke permukaan sungai akibat kaki dan tangannya yang diikat ketat, menakutkan orang ramai dan ahli keluarganya yang menyaksikan insiden itu.

Pihak berkuasa pada mulanya berasakan ia hanyalah satu gimik menghilangkan diri tetapi segera mengerahkan pasukan penyelamat setelah mendapati ia satu kecemasan.

Lahiri sebelum ini pernah memberitahu bahawa dia pernah melakukan aksi menyelamatkan diri 21 tahun lalu di lokasi berkenaan.

“Saya berada di dalam kotak kaca kalis peluru sambil diikat dengan rantai yang kemudiannya dikunci, sebelum dijatuhkan di bawah jambatan Howrah. Saya melepaskan diri dalam tempoh 29 saat,” katanya. - AFP