Mavcom dalam satu kenyataan berkata, antara perkara diberi perhatian adalah perkembangan semasa syarikat penerbangan berkenaan serta jumlah permintaan daripada pengguna melibatkan laluan-laluan khusus.

"Antara kesan penambahan laluan adalah tempat duduk yang kosong dalam sesebuah penerbangan, yang mana ia boleh menyumbang kepada pembatalan atau penyatuan penerbangan.

"Pemberian ATR dilakukan setelah perbincangan dilakukan melibatkan semua syarikat penerbangan tempatan, termasuklah AirAsia. Prinsip serta syarat bagi pengagihan ATR juga telah dimaklumkan kepada mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mavcom mengeluarkan kenyataan tersebut bagi mengulas isu penolakan pemberian ATR kepada AirAsia melibatkan laluan penerbangan Kuala Lumpur-Haikou dan Kota Kinabalu-Sandakan.

Mengulas lanjut, Mavcom berkata, berkaitan dengan laluan Kota Kinabalu-Sandakan, laluan tersebut digunakan oleh AirAsia iaitu sebanyak 18 perjalanan seminggu, Malaysia Airlines (tujuh perjalanan seminggu) dan MASwings (21 perjalanan seminggu) sehingga Disember tahun lalu.

"Pada 29 Januari lalu, suruhanjaya telah meluluskan permohonan AirAsia untuk menambah sehingga tujuh penerbangan seminggu, menjadikan jumlah penerbangan keseluruhan sebanyak 25 kali seminggu.

"AirAsia juga telah memohon pada Februari lalu tambahan tujuh penerbangan bagi laluan berkenaan, yang mana suruhanjaya tidak dapat meluluskannya berikutan wujudnya risiko terlebih penumpang dan boleh mengakibatkan ketidakselesaan kepada mereka," katanya.

Bagi laluan Kuala Lumpur-Haikou pula, menurut Mavcom, laluan berkenaan digunakan Malaysia Airlines (dua kali seminggu) dan Malindo Air (dua kali seminggu) sehingga December 2017.

"AirAsia pernah mengunakan laluan tersebut namun menghentikan perkhidmatan berkenaan pada tahun 2012. Pada 21 February lalu, AirAsia memohon untuk beroperasi sebanyak tujuh kali seminggu di laluan itu, dan suruhanjaya telah meluluskan sebanyak empat penerbangan seminggu pada 3 April lalu

"Keputusan itu diambil berikutan kebimbangan suruhanjaya berkenaan jumlah tempat duduk  yang banyak dan tidak digunakan, sekali gus mengakibatkan masalah kepada penumpang," katanya.

Tambah Mavcom, AirAsia boleh menghantar semula permohonan mereka bagi kedua-dua laluan berkenaan pada Oktober depan. - K! ONLINE