Jalil, 72, menghembuskan nafas terakhirnya pukul 2.10 pagi di sisi anak-anaknya di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Melaka di sini.

Menurut anak kelimanya, Sudirman Jalil, 38, Allahyarham dimasukkan ke hospital ber­kenaan selepas terlibat dalam kemalangan motosikal ketika pulang menziarahi kubur isteri­nya, Rahmah Dollah di Tanah Perkuburan Islam Limbongan Permai di sini pada 10 Julai lalu.

“Selepas arwah emak mening­gal dunia pada Jun lalu, ayah akan menziarahi pusara ibu setiap pagi sebelum membeli sarapan.

“Bagaimanapun, pada awal bulan lalu, ayah terlanggar kereta ketika dalam perjalanan membeli sarapan dan mengalami patah tulang paha, punggung, rusuk dan retak tulang tangan,” katanya ketika ditemui semalam.

Sudirman memberitahu, eko­ran kecederaan itu, bapanya perlu menjalani pembedahan, namun keadaan kesihatannya semakin merosot sebelum dima­sukkan ke ICU pada 5 Ogos lalu.

Katanya, sejak kematian arwah emak, Jalil mengalami kemurungan dan tidak bersemangat.

“Kami adik-beradik seperti dapat menjangka ayah akan ‘pergi’ kerana sikapnya berubah selepas emak meninggal dunia. Dia langsung tidak bergurau dengan anak-anaknya dan menjadi seorang yang pendiam,” ujarnya.

Mengulas mengenai perniagaan Kuih Keria Antarabangsa Haji Jalil yang diperkenalkan sejak 1979 itu, Sudirman memberi­tahu, perniagaan yang terletak di Jalan Limbongan, Kampung Limbongan di sini tersebut akan diuruskan olehnya bersama dua abangnya.

Pada 25 Jun lalu, Kosmo! melaporkan pengasas Kuih Keria Antarabangsa Hajah Rahmah iaitu isteri Jalil meninggal dunia ketika berusia 73 tahun akibat serangan jantung di Hospital Melaka.

Kedai Kuih Keria Antarabangsa Hajah Rahmah terletak berdekatan Kuih Keria Antarabangsa Haji Jalil yang popular di Melaka.

Kuih keria tersebut mendapat sambutan tinggi dalam kalangan pelancong ke Melaka sehingga mereka terpaksa beratur panjang untuk membelinya.