Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kes pertama melibatkan lelaki warga Myanmar berusia 27 tahun meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban pada 17 Jun lalu.

“Pihak HTJ menerima pesakit warga Myanmar bernama Amereca Parsad pada hari tersebut. Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada pukul 9.03 malam oleh doktor bertugas.

“Bedah siasat mengesyaki punca kematian disebabkan simptom keracunan metanol. Bagaimanapun sampel darah akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk keputusan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, kes kedua melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun, lelaki warga India berusia 50 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 26 tahun dimasukkan ke Hospital Port Dickson pada 18 Jun lalu.

Menurut beliau, ketiga-tiga mereka dimasukkan ke hospital tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana dipercayai telah minum minuman yang memabukkan.

Jelas beliau, siasatan awal polis terhadap kesemua kejadian itu mendapati ia berpunca daripada minuman alkohol jenama Miludeer yang dijual di sekitar daerah ini.

Tambah beliau, Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson telah melakukan pemeriksaan di premis-premis yang menjual minuman alkohol dan merampas minuman jenama itu yang berharga RM7.50 satu tin.

“Kejadian pertama disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan dan kejadian kedua disiasat dibawah Seksyen 273 Kanun Keseksaan.

“Siasatan dan pemantauan serta tindakan-tindakan lanjut masih diteruskan dengan kerjasama semua pihak,” katanya. - K! ONLINE