Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Aling  dipercayai ditikam oleh seorang rakannya semasa kedua-dua lelaki warga Myanmar itu berada dalam keadaan mabuk di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa dipercayai ditikam oleh suspek selepas pergaduhan antara mereka tercetus ekoran provokasi mangsa keatas suspek mengenai kisah lampau suspek di negara asal. 

"Kami terima laporan orang awam mengenai  pergaduhan itu pada pukul 2.30 pagi. Anggota polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan pergelutan dalam salah sebuah bilik di rumah kedai itu. Mayat mangsa pula ditemui dalam keadaan terbaring dan hanya memakai seluar dalam di pintu utama. 

"Terdapat kesan tikaman pada perut mangsa hingga menyebabkan sebahagian ususnya terkeluar. Sebilah pisau berukuran 33.5 sentimeter dengan kesan darah ditemui di dapur rumah kedai berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, polis berjaya menahan suspek kira-kira pukul 4.30 pagi di sebuah premis di Kampung Kuala Lukut dan menahan lima lagi lelaki Myanmar yang sedang menunggu bas di sebuah lokasi di Lukut dipercayai untuk melarikan diri dari pagi tadi. 

Menurut beliau, mangsa dipercayai tinggal bersama suspek dan kelima-lima lelaki warga Myanmar itu di rumah kedai berkenaan sejak beberapa bulan lalu untuk bekerja sebagai pembantu sebuah restoran di Lukut.

Kata beliau, mangsa dan suspek serta empat lelaki yang ditahan itu tidak memiliki sebarang dokumen yang sah untuk berada di negara ini, manakala seorang lagi merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

"Kesemua suspek ditahan reman mulai hari ini hingga 15 Februari 2019 bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya. - K! ONLINE

Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas ditikam dengan sebilah pisau pemotong daging di penginapan
Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas ditikam dengan sebilah pisau pemotong daging di penginapannya di tingkat satu sebuah rumah kedai di Taman Port Dickson, Lukut dekat sini awal pagi tadi.