Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata, walaupun Terengganu mempunyai banyak tarikan pelancongan, sebahagian besar daripada 4.79 juta pelancong terutama dalam kalangan warga asing yang melawat negeri itu setiap tahun tertumpu kepada pulau-pulau peranginan.

"Rangkaian pulau-pulau peranginan di Terengganu seperti Pulau Perhentian, Redang, Kapas dan Lang Tengah sememangnya sudah lama terkenal dalam kalangan pelancong namun perlu ditutup operasi dari bulan November hingga Februari setiap tahun ekoran musim tengkujuh.

"Sehubungan itu, kita perlukan pakej unik untuk menarik pelancong melawat daratan Terengganu pula yang tidak kurang menariknya terutama pada tempoh empat bulan berkenaan," katanya selepas menghadiri majlis perasmian pejabat baharu MATTA Terengganu di Dataran Panji di sini hari ini.

Pejabat operasi bersaiz lebih kurang 2,000 meter persegi berkenaan antara terbesar di negara ini dan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman. - K! ONLINE