Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Mei lalu telah bersetuju untuk menawarkan tempat kepada pelajat lepasan SPM 2018 yang terdiri daripada golongan B40.

“Keputusan tawaran akan diumumkan pada pukul 12 tengah hari pada 17 Jun (esok).

“Sehubungan dengan itu, pelajar-pelajar yang telah membuat permohonan dan juga pernah mengemukakan rayuan sebelum ini boleh menyemak keputusan dengan melayari laman sesawang KPM di www.moe.gov.my,” katanya.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, jemaah menteri dalam mesyuarat Kabinet bersetuju menambah bilangan kemasukan pelajar ke program matrikulasi KPM kepada 40,000 tempat berbanding 25,000 sebelum ini.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dilaporkan berkata, kerajaan melihat wujud keperluan utama untuk menambah bilangan pelajar dalam bidang sains dan kapasiti yang ada pada program matrikulasi wajar dimaksimumkan bagi tujuan tersebut.

Isu kemasukan pelajar ke program matrikulasi KPM timbul selepas terdapat gesaan beberapa pihak yang mahu kerajaan mengkaji semula dasar dan membuka lebih banyak tempat dalam program matrikulasi kerajaan kepada pelajar bukan bumiputera.

Perdebatan isu itu juga mendorong beberapa pihak mengambil kesempatan dengan memainkan sentimen perkauman. - K! ONLINE