Dalam kejadian pukul 1.40 petang itu, mangsa, Tan Jik Chon (gambar), 71, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, kejadian berlaku ketika wanita itu yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Layang-layang menuju ke arah Layang-layang di sini.

“Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang dikatakan keluar dari simpang SMK Layang-layang secara tiba-tiba.

“Pada masa yang sama, sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang melalui kawasan itu tidak sempat membrek menyebabkannya merempuh motosikal mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Difahamkan, ketika kejadian warga emas itu dalam perjalanan pulang dari kebunnya menuju ke rumahnya yang terletak di Layang-layang.

Menurut Mohamad, akibat perlanggaran terebut, mangsa tercampak dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Besar Enche Hajjah Khalsom di sini untuk bedah siasat.

Tambahnya, pemandu Toyota Hilux berkenaan yang berusia 33 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.