Pelantikan tokoh politik yang terkenal di pentas ceramah itu tiba-tiba bagaikan satu fenomena. Umum juga memberikan pandangan berbeza-beza berhubung pelantikan Menteri Pertahanan (Menhan) ke-11 ini terutama dalam media sosial.

Sebagai kementerian yang menaungi institusi ketenteraan, Mindef bertanggungjawab dalam soal kedaulatan dan pertahanan negara selain mentadbir urus kira-kira 110,000 anggota tentera tidak termasuk kakitangan awam.

Mindef juga bertanggungjawab dalam pentadbiran institusi dan pusat latihan termasuk Program Latihan Khidmat Negara.

Di peringkat serantau pula, Menhan terlibat dalam pelbagai forum dan sesi dialog dengan rakan-rakan sejawatan bagi membincangkan hal-hal keselamatan khususnya menerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN. Beliau juga perlu menghadiri banyak tugasan diplomatik  termasuk menghadiri pameran pertahanan antarabangsa.

Dengan latar belakang politik selain kewibawaan sebagai pemimpin berpengalaman, pasti bukanlah sukar buat Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu untuk menggalas tugasnya. Tambahan pula bukanlah janggal bagi ahli politik yang tiada pengetahuan dalam soal ketenteraan menerajui Mindef.

Melihat barisan 11 Menteri terdahulu, hanya Allahyarham Tun Hussein Onn yang juga Menhan pertama pernah menyertai pasukan tentera. Allahyarham ditauliahkan daripada Akademi Tentera Dehra Dun, India dan terlibat semasa Perang Dunia Kedua.

Sebenarnya bukan Mat Sabu sahaja, malah kebanyakan individu yang menerajui kementerian ini di luar negara memiliki latar belakang berbeza.

Kementerian Pertahanan India misalnya diterajui menteri wanita iaitu Nirmala Sitharaman, 58. Apa yang menarik, beliau mengetuai sebuah kementerian dengan jumlah bajet pertahanan yang kelima terbesar di dunia.

Nirmala menjadi wanita kedua memimpin kementerian tersebut selepas mendiang Indra Gandhi pada 1975 dan 1980-1982. Indra Gandhi kemudian menjadi Perdana Menteri India.

Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen, 60, pula merupakan seorang pakar kanser yang pernah berkhidmat di hospital kerajaan.Singapura memiliki tentera terbesar dan paling moden di rantau ini dengan keanggotaan kira-kira satu juta termasuk tentera simpanan.

Berbeza dengan Indonesia yang diterajui bekas Jeneral, Ryamizard Ryacudu, 68, sejak 2014. Beliau menyertai pentadbiran Presiden Joko Widodo. Ryamizard merupakan bekas ketua Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat pada 2002-2005.

Ahli Parti Liberal Kanada, Harjit Singh Sajjan, 47, pula menerajui Kementerian Pertahanan negara itu. Menteri Sikh pertama sejak dilantik pada 2015 ini, Harjit pernah berkhidmat sebagai tentera bersama pasukan simpanan negara itu.

Bekas leftenan kolonel ini merupakan satu-satunya keturunan Sikh-Kanada yang pernah dilantik sebagai pegawai pemerintah batalion pasukan simpanan dan pernah bertugas di Afghanistan. Sebelum menyertai politik, beliau bertugas sebagai pegawai polis di Jabatan Polis Vancouver.

Bagi Mat Sabu pula, aura dirinya pantas memikat warga Mindef sebaik sahaja memulakan tugas pada 22 Mei lalu apabila dikerumuni ramai untuk merakam swafoto ibarat selebriti popular.

Apa yang menarik pada sidang akhbar pertamanya sebagai Menhan, Mat Sabu mengakui perlu menerima kehidupan berprotokol setelah dilantik memegang portfolio yang disifatkannya sangat penting itu.

“Saya selalu hidup dengan rakyat, kini perlu terlalu ikut protokol, benda baharu. Saya kena membiasakan diri tetapi tidak mahu ubah gaya Mat Sabu,” ujarnya.