Beliau berkata, ramai telah menolak jawatan itu yang dahulunya dilihat berprestij kerana takut untuk menggalas tanggungjawab besar tersebut  selain berdepan peminjam yang enggan membayar hutang.

Katanya, pelantikan Wan Saiful merupakan satu pelan luar jangka untuk menyelamatkan keadaan dan membantu melunaskan janji kerajaan Pakatan Harapan (PH)  berhubung pinjaman PTPTN.

"Ketika kami cuba menghubungi beberapa pihak terutamanya mereka yang berlatar belakang ekonomi dan kewangan untuk memegang jawatan itu, ramai yang menolak kerana tidak sanggup menggalas tanggungjawab besar itu.

"Perbincangan dengan Wan Saiful, beliau terpanggil melakukan sesuatu untuk menunaikan janji-janji PH.  Beliau sanggup mengambil risiko," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama