Musim menuai merupakan upacara tradisional tanda terima kasih kepada alam semulajadi, dalam meraikan kitaran hidup yang memberi manusia hasil tuaian dan ia disambut pada hari pertama bulan Thai menurut kalendar Tamil, yang sememangnya akan jatuh pada Januari.

Sambutan Ponggal tidak lengkap tanpa hidangan nasi manis, yang ditanak bersama susu menggunakan buyung, iaitu kaedah masakan tradisional yang berasal dari Tamil Nadu di India, iaitu tempat asal kebanyakan masyarakat Tamil.

Sebaik sahaja susu mendidih dan melimpah keluar beras dan gula merah akan dimasukkan ke dalam periuk dan apabila siap ia akan ditawarkan kepada Dewa Suria sebagai tanda penghargaan atas hasil tuaian yang baik.

Sempena sambutan yang penting dan dianggap sebagai hari kesyukuran buat masyarakat Tamil yang jatuh pada 14 Jan ini, Bernama membuat tinjauan ke jalan di Little India, Brickfields di sini bagi menyaksikan persiapan beberapa hari sebelum kedatangan Ponggal.

Kelihatan ramai peniaga runcit India menjual periuk berwarna-warni yang diperbuat daripada tanah serta pembeli yang membeli-belah pada saat akhir, antaranya ialah suri rumah, P. Amutha, 65, yang membeli pelbagai barangan seperti periuk tanah liat untuk menyediakan nasi manis.

"Antara lain, tebu dan susu merupakan keperluan wajib bagi sambutan ini. Kami menyediakan nasi manis mengikut waktu yang 'sesuai', sama ada pagi atau petang," kata ibu tiga anak itu.

Seorang penjual manisan, Ram Singh, 65, pula berkata sempena kedatangan Ponggal beberapa hari lagi, semakin ramai pengunjung singgah ke gerainya yang menjual pelbagai jenis manisan yang terkenal seperti Ladoo, Palkova dan Jelibee.

Di NIBONG TEBAL, isteri kepada seorang pengusaha kedai periuk tanah tradisional, R. Thulasi, 42, berkata sebanyak 50,000 biji buyung dihasilkan bagi memenuhi permintaan yang meningkat pada tahun ini berbanding tahun lepas 30,000 biji buyung.

Beliau berkata faktor cuaca yang kerap hujan pada tahun lepas menyebabkan pihaknya tidak dapat menghasilkan buyung yang banyak berikutan ia perlu dikeringkan terlebih dahulu sebelum dibakar.

"Tahun ini kami dapat sediakan lebih banyak buyung kerana cuaca agak baik, sekali gus dapat penuhi tempahan yang semakin meningkat. Kebiasaannya kami dapat tempahan daripada pemborong, pihak kuil dan orang perseorangan, kebanyakannya dari Pulau Pinang, Kedah dan Perak," katanya kepada Bernama, di sini.

Thulasi berkata kedai yang diusahakan suaminya, D. Reguraj, 43 iaitu generasi kelima keluarga mentuanya itu beroperasi hampir 200 tahun dan bagi memastikan kualiti terjamin, beliau mengupah tiga pekerja dari India yang mempunyai kemahiran menghasilkan buyung dan belanga, yang dijual dalam pelbagai saiz serta corak dengan harga serendah RM6 hingga RM35.

Pembuat periuk tanah tradisional dari India, Muruganatham, 38, berkata proses menghasilkan buyung memerlukan kesabaran, ketelitian dan kemahiran kerana tidak semua orang mampu menghasilkan sebiji buyung.

Beliau berkata jika dahulu masyarakat India menghasilkan buyung secara manual  hingga mengambil masa satu jam untuk membuat sebiji buyung, kini beliau mampu menghasilkan sebiji buyung dalam masa dua minit kerana ada acuan dan peralatan memproses tanah liat. 

Kemuncak sambutan ini ialah apabila anggota keluarga berkumpul mengelilingi belanga itu untuk melihat susu melimpah dan kemudian mengungkapkan 'Ponggal lo Ponggal' sambil memasukkan beras ke dalamnya, mengikut masyarakat Tamil 'limpahan' ini melambangkan kebaikan dan kekayaan bagi seluruh keluarga.

Pada hari kedua sambutan yang dikenali sebagai 'Mattu Ponggal', tumpuan diberikan kepada lembu yang dianggap sebagai haiwan suci bagi penganut agama Hindu dan ia dimandikan serta tanduknya diwarnakan dan dihiasi kalungan bunga.

Hari ketiga Ponggal pula dikenali sebagai 'Kanni Ponggal', tertumpu kepada anak dara yang diminta  memakai pakaian baharu dan barang kemas serta melakukan sembahyang khas agar memperoleh suami yang baik. - Bernama