Ini yang dilakukan oleh pihak pengurusan Masjid Muhammadiah atau dikenali sebagai Masjid Cina yang terletak dekat Tasek di sini.

Masjid Cina kedua di Malaysia ini dibina dengan dana sebanyak 4 juta dan diurus tadbir oleh jawatankuasa Masjid Muhammadiah dan Persatuan Cina Muslim (Macma) Cawangan Ipoh. 

Pengerusinya, Datuk Dr. Fadzli Cheah Abdullah berkata, kehadiran masyarakat pelbagai kaum ke majlis keramaian kelolaan masjid boleh memberi kefahamam kepada mereka tentang agama Islam.

Menurut beliau, secara tidak langsung ia mengukuhkan lagi hubungan antara kaum apabila mereka melihat fungsi masjid bukanlah sebagai tempat beribadat semata-mata.

"Masjid Cina misalnya bukan sekadar tempat untuk tujuan berdakwah tetapi juga sebagai pusat pendidikan dan pelancongan yang dilawati pelbagai kaum.

"Kita mahu masjid ini dilihat bukan untuk orang Islam sahaja tetapi untuk semua golongan melibatkan ibadah, majlis ilmu dan apa sahaja yang disuruh oleh Allah," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Karnival Kebudayaan dan Makanan 2019 anjuran Jabatan Agama Islam Perak dan Macma di pekarangan Masjid Muhammadiah di sini semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi Persatuan India Muslim Perak, Mohamed Arib Aliah. 

Seramai 300 orang hadir memeriahkan sambutan karnival selama dua hari itu yang objektifnya bagi memupuk perpaduan antara pihak masjid dan masyarakat setempat.

Pelbagai acara diadakan antaranya sukan rakyat seperti pertandingan bermain congkak, dam ular, batu seremban dan sukaneka kanak-kanak.

Turut diadakan ialah acara memanah dan pertandingan catur.

Orang ramai juga dijamu dengan pelbagai hidangan seperti nasi ayam, laksa dan roti canai manakala program diakhiri dengan jamuan minum petang. - K! ONLINE