Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan, Ismail Mohd. Zawawi berkata, seramai 55 orang anggota terlibat dalam Op Pengarah JPJ WPKL siri 4/2018 yang bermula dari pukul 8.30 malam hingga 10.30 malam itu.

"Operasi pada malam ini memfokuskan pada pada pengubahsuaian nombor pendaftaran yang ekstrim serta tidak mengikut spesifikasi dibenarkan.

"Sehingga pukul 10.30 malam, sebanyak 316 notis telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan di atas pelbagai kesalahan," katanya dalam satu sidang akhbar sebaik selesai operasi.

Menurut Ismail, daripada jumlah tersebut sebanyak 269 saman, 9 notis larangan penggunaan kenderaan dan 36 notis arahan periksa kenderaan telah dikeluarkan pada pengguna jalan raya.

"Kesemua notis dan saman yang dikeluarkan melibatkan kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM)  dan lesen memandu tamat tempoh, cermin gelap, serta pengubahsuaian nombor pendaftaran.

"Pada malam ini, sebanyak 1,264 kenderaan telah diperiksa dan dua buah kenderaan turut disita kerana memandu dalam keadaan LKM telah tamat tempoh," ujar beliau.

Ismail berkata, kesalahan paling kerap dikesan di kalangan pengguna jalan raya adalah memandu dalam keadaan LKM serta lesen memandu tamat tempoh.

“Jika terdapat sebarang kemalangan melibatkan kenderaan tersebut, maka pihak insurans tidak akan melayan sebarang tuntutan kerana mereka yang memandu dengan lesen atau LKM tamat tempoh tidak layak berada di atas jalan raya,” tegas beliau. - K! ONLINE