Timbalan Menterinya, Dr. Lee Boon Chye berkata, pihaknya mengenal pasti masalah yang dihadapi hospital kerajaan antaranya parkir, waktu menunggu, kekurangan bekalan ubat serta doktor pelatih.

"Kita memerlukan lebih peruntukan untuk penjagaan utama kesihatan dan mencegah rakyat daripada sakit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Neonatal Cardio Respiratory di sebuah hospital pakar di sini hari ini.

Persidangan selama tiga hari bermula semalam itu bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kepakaran pengamal perubatan profesional dalam merawat serta menjaga bayi yang kritikal di negara ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Gopeng berharap kementerian memperoleh peruntukan lebih tinggi dalam Bajet 2019 supaya dapat meningkatkan penjagaan utama kesihatan dan pencegahan penyakit di negara ini. - Bernama