Kapal besar yang telah membawa Malaysia dan rakyatnya belayar selama 61 tahun menempuh badai dan gelombang menuju ke pelbagai destinasi dengan gagahnya.

Namun, mungkin dalam tempoh 61 tahun itu, kapal besar BN semakin uzur dek serangan musuh dan tidak lagi cantik di mata tetamu-tetamu muda yang jumlahnya makin membesar mencecah angka lima juta orang.

Apatah lagi, apabila nak­hoda kapal BN banyak kali pula membawa kapal itu berlanggar dengan terumbu-terumbu karang besar, kapal BN semakin bocor.

Di seberang sana pula, Pakatan Harapan mempersiapkan kapal besar mereka dengan gah dan serba baharu. Jika pada pertembungan 2013, juragan reformasi mereka gagal menakluki samu­dera Malaysia, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) muncul kapten baharu dalam kapal besar Pakatan Harapan.

Ya, kapten yang bukan calang-calang kerana beliau sendiri selama 22 tahun pernah mengemudi kapal besar BN. Walaupun ramai yang mempertikaikan usia kapten itu, namun barisan pegawai dan kelasinya majoriti dibarisi tenaga muda.

Akhirnya malam keramat itu pun muncul, ombak tsunami besar membadai kapal BN dan menyebabkan ia hampir tersadai. Suara rakyat akhirnya menjadi bukti merekalah raja di lautan samudera demokrasi.

Yang pasti, pasca PRU-14 bukan sahaja mengubah landskap politik Malaysia, bahkan memperlihatkan betapa rapuhnya perjua­ngan sesetengah ahli politik.

Pada tanggal 10 Mei, sebaik kapal besar Pakatan Harapan mengibarkan layar kemenangan, jumlah pegawai kapal BN yang mahu berpindah kapal sudah tidak terhitung dek jari tangan.

Dari Sabah membawa ke Johor dan kemudian ke Perak, budaya melompat bahtera kapal ini semakin parah. Perbuatan tersebut akhirnya menyebabkan layar kemenangan kapal BN di Sabah dan Perak terpaksa diturunkan semula.

Begitulah rakus dan kejam dunia politik.

Walaupun ada yang menggelar mereka pengkhianat, pengecut, katak dan sebagainya, hanya mereka mengetahui sama ada tindakan itu sebagai penyambung jambatan perjuangan bangsa atau sekadar demi menjaga periuk nasi sendiri.

Yang pasti, baki pe­mimpin yang ada dalam kapal BN terutamanya UMNO sendiri tidaklah perlu bermuram durja.

UMNO belum mati dan terkubur!

Jika selama 61 tahun mereka gah dengan layar kapal kerajaan, tidak ada dosanya untuk lima tahun berbangga dengan layar pembangkang.

Pas dan DAP sendiri tidak pernah patah sema­ngat setiap kali tewas dalam percubaan menjadi kerajaan Persekutuan sejak tahun 1955 dan 1960-an.

Sebagai pembangkang, BN dan UMNO perlu menjadi pembangkang yang kuat. Ia adalah resipi terbaik demokrasi kerana berfungsi sebagai check and balance kepada kerajaan.

UMNO tidak perlu tunduk malu kerana kalau dipecahkan kerusi Parlimen mengikut parti, mereka masih juara di hati rakyat Malaysia dengan 54 kerusi Parlimen, PKR sebanyak 47 kerusi, DAP (42), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (19), Pas (18), PPBM (12), Amanah (10) dan Warisan (8).

UMNO tidak boleh menafikan inilah masa terbaik untuk kembali me­remajakan UMNO. Proses itu haruslah berjalan de­ngan ikhlas bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Jika tidak semakin lamalah UMNO akan terus bungkam. Semoga kapal besar UMNO dan BN dapat dibaiki segera dan layarnya kembali gah me­rentas samudera Malaysia.