"Saya tidak menyatakan ia projek yang tidak mendatangkan faedah. Sudah tentu, apa-apa projek infrastruktur akan memberi manfaat kepada Malaysia dan Singapura," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Azmin berkata, beliau akan menemui Menteri Pengangkutan dan Menteri Penyelaras Infrastruktur Singapura Khaw Boon Wan tidak lama lagi untuk mencari penyelesaian yang terbaik demi kepentingan kedua-dua negara.

"Bagaimanapun, saya tidak berhasrat untuk memaklumkan mengenai pilihan pada masa ini. Biar kedua-dua pihak bertemu dan membincangkan semua pilihan yang ada di hadapan kami," katanya.

Berdasarkan nota diplomatik yang dihantar oleh kerajaan Singapura kepada Wisma Putra, mesyuarat yang dicadangkan itu perlu diadakan pada akhir bulan ini, katanya sambil menambah, beliau akan cuba memenuhi permintaan dan mendapatkan tarikh yang dipersetujui bersama untuk mesyuarat tersebut.

Beliau berkata, penyelesaian HSR juga perlu mengekalkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Singapura yang telah terjalin sekian lama.

"Kami sentiasa menganggap dan akan terus menganggap Singapura bukan sahaja sebagai rakan strategik kami tetapi juga rakan kongsi yang penting," katanya. - Bernama