Katanya, dia rasa seperti orang bodoh jika bercakap dalam bahasa Melayu kerana kurang fasih, sebaliknya mahu menggunakan bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, Sharifah Amani mengakui dia tidak berniat untuk memperlekehkan bahasa Melayu sebalik­nya lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris kerana ia adalah bahasa yang digunakan di rumah bersama seluruh anggota keluarga termasuk datuk, nenek dan moyangnya.

Selepas 12 tahun, isu bahasa Melayu sekali lagi mencuri perhatian. Kedaulatan bahasa Melayu diuji dalam dua senario berbeza baru-baru ini. Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan akhbar dalam bahasa Mandarin mencetuskan perdebatan hangat.

Ia bukan sahaja melibatkan pengamal media tetapi menarik perhatian pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melihat tindakan Guan Eng itu boleh menjuruskan kepada usaha pengabaian terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan untuk kegunaan rasmi kerajaan.

Senario kedua berlaku apabila Peguam Negara, Tommy Thomas memohon prosiding dalam Mahkamah Tinggi dibuat dalam bahasa Inggeris sehingga menimbulkan kekecohan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur baru-baru ini. Tommy mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM42 juta.

Situasi di luar Mahkamah Tinggi itu menjadi kecoh apabila sekumpulan penyokong Najib mendesak Tommy untuk mengadakan sidang akhbar dalam bahasa Melayu. Pada pendapat penulis, Tommy melakukan kesilapan besar kerana mengabaikan bahasa Melayu tetapi ia bukan satu kesalahan.

Bagaimanapun, penulis tertanya-tanya kenapa bangsa Melayu cukup sensitif dengan kesalahan-kesalahan bahasa yang dilakukan oleh bangsa lain di negara ini? Kenapa perlu bersifat prejudis, diskriminasi dan perkauman? Adakan ia satu kesalahan jenayah?

Sebenarnya, bangsa Melayu itu sendiri sedang ‘sakit tenat’ ketika ini. Kebanyakan kes jenayah antaranya pe­cah amanah, rasuah, sumbang mahram, bunuh ahli keluarga dan bunuh bayi dilakukan oleh orang Melayu.

Meskipun ada antara mereka masih dalam tempoh perbicaraan dan belum dibuktikan bersalah, kes yang terpalit dengan mereka sudah cukup untuk membuka mata kita. Misalnya, siapa watak di sebalik skandal menyeleweng dana infrastruktur kerajaan yang berjumlah RM56.9 juta di Jabatan Air Sabah, penyelewengan dana Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bernilai lebih RM100 juta dan exco kerajaan negeri Johor yang didakwa atas pertuduhan terlibat dalam rasuah bernilai lebih RM30.3 juta?

Siapa pula pelaku yang menyembelih anak bongsu sendiri berusia dua tahun di Felda Puteri Malu, Jengka 13, Maran, Pahang bulan lalu. Kes-kes jenayah seperti itu semakin menghantui kaum Melayu pada masa ini. Ia merupakan isu yang lebih besar jika dibandingkan dengan kesalahan berbahasa Melayu yang dilakukan kaum lain di negara ini.

Namun, apa sekalipun hujah kita tentang bahasa Melayu, kita perlu menghormati Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan 1957 yang menetapkan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bagi Persekutuan.