Wan Azizah yang mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Australia, Julie Bishop di sini hari ini berkata, daripada pertemuan itu, beliau mengambil maklum akan kesediaan Australia untuk memberikan sokongan kepada Malaysia berikutan kemenangan PH dalam pilihan raya umum baru-baru ini yang menyaksikan pertukaran kerajaan di negara ini.

Pertukaran teraju pemerintahan Malaysia menjadi topik utama yang dibincangkan mereka, kata beliau sambil menyatakan bahawa Malaysia tidak pernah mempunyai pengalaman bertukar kerajaan dalam tempoh 61 tahun tidak seperti Australia.

"Kami berbincang bagaimana untuk lebih maju ke hadapan," kata Wan Azizah pada sidang akhbar selepas kunjungan hormat Bishop yang kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Malaysia.

Pertemuan itu berlangsung di pejabat Timbalan Perdana Menteri di bangunan Parlimen.

Menurut Kementerian Luar Negeri Malaysia, lawatan Julie dari 31 Julai hingga 2 Ogos ini bertujuan menjalin hubungan lebih erat dengan kerajaan baharu Malaysia serta membuat penilaian baharu mengenai hubungan dua hala yang telah sedia terjalin. - Bernama