Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, dua klon baharu tersebut mempunyai isi yang tebal dan manis serta harum selain lebih lekang berbanding klon popular lain seperti rambutan anak sekolah.

"Pohon rambutan bagi dua klon ini juga rendang dan berbuah lebih awal yang mana ciri ini dapat membantu memanjangkan lagi musim buah rambutan di negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat plot tanaman pokok rambutan mutiara merah dan mutiara wangi selepas merasmikan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi Buah-Buahan di Stesen MARDI Sintok di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Sallehhuddin Hassan dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Roff Mohd. Noor.

Keistimewaan rambutan mutiara merah antara lain berbuah awal musim dan mengeluarkan hasil yang tinggi manakala mutiara wangi berbuah awal musim, hasil tinggi serta isi beraroma, rangup dan kering selain lekang dengan hanya sedikit testa terlekat pada isi.

Menurutnya, klon baharu itu diyakini dapat memenuhi permintaan pasaran tempatan selain memberikan pendapatan lumayan kepada pengusaha tanaman tersebut.

"Harga jualan bagi dua klon ini juga sangat bagus dan kemungkinan harga jualan di ladang adalah antara RM3 hingga RM4 sekilogram," ujarnya. - K! ONLINE