Pengarah Mara Negeri, Lukman Hakim Hasan berkata, jumlah usahawan wanita di Perlis meningkat secara drastik sejak tiga tahun lalu terutamanya yang melibatkan seliaan agensi itu.

"Kami terus komited memberikan bantuan modal, pembungkusan dan pemasaran produk kepada 550 usahawan bimbingan di negeri ini.

"Mara juga telah memperkenalkan skim pembiayaan khas untuk golongan wanita iaitu DANANITA yang melibatkan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi memperkasa lebih 400 usahawan wanita di seluruh negara.

"Skim ini memberikan fokus kepada usahawan wanita berusia 18 hingga 60 tahun dengan had pembiayaan sebanyak RM50,000 yang berkonsepkan patuh syariah," katanya di Hotel Seri Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita pada Seminar Wanita Inspirasi Ekonomi (Wise) hari ini.

Turut berkenan berangkat hadir dan merasmikan seminar itu, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. - K! ONLINE