Pengarah Maqis Negeri Selangor, Dr. Tarmisal Alimin berkata, susu yang diimport dari Jerman itu tidak mempunyai sijil kesihatan sah dari negara asal.

"Hasil pemeriksaan pada pukul 6.50 petang itu mendapati terdapat 18 kotak susu tepung yang dibawa iaitu seberat 180 kilogram dan dianggarkan bernilai RM5,134.

"Konsainan tersebut akan ditahan dan disita untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) iaitu tidak mematuhi syarat import yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(2), akta sama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tarmisal berkata, jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya," katanya.

Sementara itu, Maqis berkata, pihaknya sentiasa bersedia dalam melakukan tugasan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi haiwan, pertanian dan ikan yang masuk ke dalam negara mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Ini bagi memastikan keselamatan makanan terjamin dan selamat dimakan oleh rakyat di negara ini," katanya. - K! ONLINE