Pengarah Maqis Selangor, Dr. Tarmisal Alimin berkata, pegawai penguat kuasa telah memeriksa empat bagasi yang dibawa oleh seorang lelaki warganegara India sebelum menemui bulu ekor burung merak atau nama saintifiknya paro cristatus dianggarkan bernilai ribuan ringgit.

Jelasnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati bulu ekor burung merak yang dibawa oleh penumpang tersebut tidak mempunyai permit import Maqis, sijil kesihatan dan Sijil Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies-Spesies Terancam (Cites) dari negara asal.

“Bulu ekor burung merak merupakan barangan terkawal di bawah konvensyen Cites yang bertujuan untuk mencegah penurunan spesis terancam atau berpotensi terancam dengan kepupusan.

“Perbuatan mengimport tanpa mempunyai suatu permit yang sah dari Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3) akta sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Tarmisal, ia boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Jelasnya, Akta 728 diguna pakai bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan mematuhi aspek kesihatan manusia.

Tambahnya, akta itu juga dapat mengawal kemasukan penyakit berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian, perikanan dan haiwan. - K! ONLINE