Pengarah Maqis Negeri Selangor, Dr. Tarmisal Alimin dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia itu turut berjaya merampas produk babi seperti sosej dan bebola daging babi seberat 20kg.

Menurutnya, rampasan tersebut dibuat secara berasingan pada awal pagi semalam dan Selasa lalu selepas pemeriksaan bagasi dilakukan ke atas empat orang warganegara China di laluan antarabangsa KLIA.

"Pemeriksaan oleh tiga penguatkuasa mendapati suspek membawa masuk daging dan produk babi walaupun larangan pengimportan daging babi dari China, Thailand, Vietnam, Laos, Poland dan Belgium telah dikeluarkan oleh kerajaan.

"Ia bagi mengelakkan kemasukan produk babi dari negara yang berpenyakit dan penyebaran penyakit African Swine Fever (ASF)," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Maqis berkata, antara produk berisiko dalam penularan virus ASF termasuklah babi hidup, daging babi segar, babi sejuk beku dan daging babi proses seperti sosej serta babi salai. 

"Selain larangan pengimportan, kemasukan daging dan produk babi yang dibawa oleh penumpang di laluan udara juga adalah dilarang," katanya.

Tarmisal berkata, perbuatan mengimport tanpa permit sah daripada Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum dibawah seksyen 11 (3), akta sama. 

"Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya," katanya.

Dalam pada itu, Maqis sentiasa komited dalam menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk bagi memastikan tiada kemasukan daging babi dan produk babi yang tidak mematuhi prosedur pengimportan untuk menghalang penyakit ASF. - K! ONLINE