Pengarah Maqis Selangor, Dr. Tarmisal Alimin berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan terhadap seorang warganegara China di balai ketibaan KLIA2 kira-kira pukul 11 pagi.

Jelasnya, pemeriksaan itu mendapati, lelaki tersebut membawa sebanyak 10kg daging itik panggang yang diletakkan di dalam sebuah kotak.

“Daging itik tersebut dipercayai dibawa masuk untuk kegunaannya sendiri. Ia dianggarkan bernilai RM1,000 dan telah dirampas sebelum akan dilupuskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Daging itik dirampas kerana tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah seperti permit import dan sijil kesihatan dari negara asal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit import yang sah daripada Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

Tambahnya, sabit kesalahan, ia boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya.

“Pegawai Maqis sentiasa tegas, cekap dan teliti dalam menjalankan aktiviti pemeriksaan serta penguatkuasaan di semua pintu masuk seluruh negara termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

“Langkah itu bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya. - K!ONLINE