Kemunculan Mohd. Azli Hisyam Abdul Ghafar, 25, yang mempunyai ketinggian 220 sentimeter (2.2 meter) di tengah-tengah ribuan pengunjung itu menarik perhatian orang ramai yang tidak melepaskan peluang merakamkan gambar beliau.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang merasmikan program berkenaan juga turut terpegun melihat ketinggian luar biasa lelaki itu ketika bersamanya memotong kek sambutan hari kelahirannya yang ke-82 tahun.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim, ADUN Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff dan ADUN Paloh, Amran Ariffin.

Mohd. Azli Hisyam berkata, dia mendapat jemputan khas untuk meraikan program berkenaan supaya suasana lebih meriah.

Katanya, keadaan kesihatannya bertambah baik selepas melakukan beberapa rawatan susulan selepas pembedahan membuang ketumbuhan di kepala pada Oktober tahun lalu.

“Sebelum ini saya tidak dapat berdiri lama apabila hadir ke majlis jemputan kerana tidak sihat.

“Alhamdulillah, saya semakin sihat dan sentiasa terbuka untuk menerima jemputan pelbagai pihak bagi memeriahkan sambutan," katanya.

Mohd. Azli Hisyam yang pernah menerima sijil daripada Malaysia Book Of Records sebagai manusia tertinggi di Malaysia masih lagi menganggur selepas tamat pengajian di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, Alor Setar, Kedah.

Katanya, dia kini masih membantu ibu bapa yang membuka kedai makan di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 3 sementara menanti pekerjaan sesuai.

Sementara itu, seorang pengunjung, Abdullah Hussein, 70, berkata, dia berasa teruja kerana pertama kali melihat manusia yang mempunyai ketinggian luar biasa seumur hidupnya.

“Inilah kali pertama saya melihat manusia paling tinggi apabila saya hanya berada di paras pinggangnya.

“Saya juga sempat merakam gambar dengannya dan orang ramai juga begitu gembira dengan kehadirannya,” katanya. - K! ONLINE