Pakaian yang ditempah untuk Mohd. Azli yang tinggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 3 itu disumbangkan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Gua Musang (Peka GM) dan Majlis Belia Jajahan Gua Musang (MBJGM).

Penyerahan baju raya itu dilakukan Penaung Peka, Datuk Roshaimi Razak, Pengerusi Peka GM, Mohd. Syahbuddin Hashim dan Yang Dipertua MBJGM, Mohd. Azmawi Fikri Ab. Ghani pada Majlis Iftar dan Penyampaian Baju Raya kepada Anak Yatim dan Miskin di Bukit Cekati, di sini semalam.

Mohd. Azli Hisyam berkata, sebelum ini dia hanya menempah sepasang baju raya sahaja setiap tahun.

Katanya, keluarganya sebelum ini tidak mampu menempah baju raya khususnya baju Melayu kerana kos yang tinggi dan saiz terlalu besar.

“Tahun ini saya bersyukur menerima sumbangan empat pasang baju dan saya tidak sabar untuk memakainya pada hari raya nanti.

“Saya masih menganggur kerana belum mempunyai sebarang pekerjaan selepas tamat pengajian di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, Alor Star, Kedah.

“Saya ada menerima tawaran pekerjaan sebagai penyambut tetamu di Melaka, tetapi saya tolak kerana terlalu jauh,” katanya.

Sementara itu, Roshaimi pula berkata, Peka turut menyampaikan sumbangan baju raya kepada 182 anak yatim dan miskin serta penyampaian zakat kepada 40 golongan asnaf.

“Kita mahu golongan kurang berkemampuan juga merasai kegembiraan menjelang sambutan hari raya," katanya. - K! ONLINE