Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata mangsa meninggal dunia pada 3.57 petang tadi di Hospital Umum Sarawak (HUS) disebabkan Encephalitis Rabies. 

Dalam kenyataan beliau berkata kematian baharu kes rabies itu menjadikan jumlah kematian adalah 11 daripada 12 kes yang telah disahkan rabies dalam kalangan manusia di negeri berkenaan sejak ia diisytiharkan wabak pada 30 Jun 2017 dengan kadar kematian 91.7 peratus.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat seorang lagi pesakit berusia 44 tahun dari Kuching, Sarawak yang disyaki dijangkiti virus rabies telah dimasukkan ke wad HUS pada Khamis lepas.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, beliau tidak mempunyai sejarah digigit anjing atau haiwan lain, namun pernah memukul seekor anjing liar yang telah menggigit isterinya pada 13 Jan 2018.

Ketika itu, pesakit mempunyai luka terbuka di tangan kanan beliau. Dilaporkan bahawa anjing tersebut kemudiannya telah mati," katanya.

Kata Noor Hisham, pesakit terbabit tidak menerima sebarang rawatan walaupun telah membawa isterinya ke hospital untuk rawatan dan vaksinasi.

Bagaimanapun pesakit mula mengalami sakit di tangan kanan dan telah mendapatkan rawatan pesakit luar pada 6 Ogos, katanya. 

Keadaan pesakit bertambah teruk sejak 11 Ogos dan mengalami gejala kebas dan lemah tangan kanan, tidak boleh bergerak, ketegangan di leher dan hidrofobia.

Noor Hisham berkata ujian ke atas sampel klinikal dijalankan untuk mengesahkan punca dan penyakit yang dihidapi. 

Dalam kenyataan itu, beliau mengingatkan orang awam untuk mengambil langkah pencegahan jangkitan rabies termasuk mencuci bahagian tubuh yang digigit dengan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur.

Selain itu, orang awam perlu mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit anjing atau haiwan yang agresif. - Bernama