Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner, Shahurinain Jais berkata mangsa berusia 32 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 10 Januari.

"Dia ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah dan menerima lapan jahitan di kepala kiri serta dilaporkan dalam keadaan stabil, katanya.

Hasil laporan bedah siasat mendapati pencuri itu meninggal dunia akibat tikaman di bahagian leher.

Semalam, rumah lelaki berkenaan dimasuki pencuri melalui tingkap tandas belakang bersebelahan dapur sebelum pencuri itu bertindak memecahkan pintu bilik utama.

Mangsa yang berada di rumah ketika itu, kemudiannya diugut menggunakan pemutar skru untuk menyerahkan barangan berharga selain bertindak menggeledah bilik kedua dan ketiga rumah itu.

Kemudiannya dia dipaksa membuka pintu dapur untuk melarikan diri namun berjaya mencapai sebilah pisau pemotong sayur berukuran 22 sentimeter.

"Mangsa mengarahkan suspek (pencuri) untuk memulangkan semula barangan miliknya tetapi suspek enggan sehingga menyebabkan berlaku pergelutan di antara kedua-dua mereka," kata beliau.

Hasil siasatan awal mendapati suspek (pencuri) mempunyai 14 rekod jenayah lampau termasuk kes dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama