Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, mangsa yang berusia 28 tahun dikatakan diserang tiga lelaki dengan senjata tajam di hadapan sebuah kedai mencuci kereta di Kampung Batu Karang kira-kira tiga kilometer dari tempat mayatnya dijumpai.

Selepas diserang, mangsa kemudiannya dibawa menaiki kereta jenis Honda Civic oleh penyerangnya sebelum kenderaan yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kampung Baru, Bukit Tuku, katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdullah berkata siasatan awal polis mendapati mangsa berjaya keluar dari kereta terbabit dan berjalan kaki namun rebah dan meninggal dunia akibat pendarahan teruk, di belakang sebuah rumah.

"Kemalangan itu mengakibatkan pemandu kereta berusia 22 tahun cedera parah dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tanah Merah," katanya.

Beliau berkata dua lagi suspek yang berada dalam kenderaan itu turut menghilangkan diri selepas  kemalangan berkenaan dan polis sedang memburu mereka. - Bernama