Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Mejar Ismail Mahedin berkata, setakat pukul 8 pagi, kesemua mangsa daripada 1,419 buah keluarga itu ditempatkan di 31 pusat pemindahan sementara yang dibuka di negeri ini.

Menurut beliau, terdapat tujuh bahagian yang terjejas akibat bencana tersebut iaitu Kota Samarahan, Serian, Sri Aman, Sibu, Mukah, Bintulu dan Limbang.

"Kota Samarahan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 1,857, diikuti Serian (1,564), Bintulu (504), Sibu (388), Mukah (271), Limbang (271) dan Sri Aman (32).

"Buat masa ini, kesemua pusat pemindahan sementara banjir dilaporkan dalam keadaan selamat dan terkawal," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Dalam pada itu, Ismail memberitahu, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak melaporkan terdapat 43 buah sekolah terpaksa ditutup akibat banjir.

Katanya, penutupan sekolah-sekolah berkenaan melibatkan seramai 5,380 pelajar, 677 guru dan 249 staf sokongan sekolah.

"Daripada jumlah itu, 11 sekolah ditutup kerana dijadikan pusat pemindahan sementara banjir," ujarnya. - K! ONLINE