Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata setakat 10 malam ini, 13 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Mersing, Segamat dan Kota Tinggi.

"Seramai 1,111 orang berada di lapan PPS di Mersing, 103orang di empat PPS di Segamat manakala 31 orang di sebuah PPS di Kota Tinggi," katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, mangsa banjir di Mersing merupakan penduduk di Kampung Tenglu Besar, Kampung Air Papan, Kampung Baru Jemari, Kampung Sungai Muka Dua, Kampung Orang Asli Labong dan Kampung Air Merah yang terjejas secara berperingkat mulai dua hari lepas.

Beliau berkata, kesemua mereka ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tenglu, SK Air Papan, Sekolah Agama Pengkalan Batu, Sekolah Agama Mersing Kanan, SK Labong, Balai Raya Kampung Air Merah, Balai Raya Kampung Benaung dan SK Mersing Kanan. - Bernama