Menurut satu kenyataan, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang akan mengetuai delegasi negara ke mesyuarat itu akan memberikan ucapan mengenai kebimbangan semasa yang ditimbulkan oleh Daesh daripada perspektif negara dan serantau, cabaran dan amalan baik langkah pencegahan keganasan serta keganasan melampau.

“Anifah akan turut mengetengahkan konsep kesederhaan atau wasatiyyah yang merupakan asas dalam usaha menangani kegiatan keganasan yang kejam dan menjijikkan dalam segala bentuk dan manifestasinya,” katanya di sini hari ini.

Pakatan Global Menentang ISIS/Daesh telah diwujudkan pada September 2014 berdasarkan kebimbangan secara global terhadap Daesh dan ancamannya kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Mesyuarat kali keempat yang mengumpulkan kesemua 74 buah negara anggota itu juga bakal menzahirkan komitmen tegas Negara Anggota Pakatan Global untuk menangani Daesh dalam semua aspek serta membongkar rangkaiannya dan menentang cita-cita globalnya.

Mesyuarat tersebut akan dihoskan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri Kuwait, Sheikh Sabah Khalid Al-Hamad Al-Sabah bertujuan untuk mempergiatkan kempen menentang Daesh.

Mesyuarat tersebut juga akan menggariskan hala tuju pakatan global dan kerelevanannya berikutan pembebasan Iraq dan Syria dari cengkaman pengaruh Daesh. - K! ONLINE