Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, kementeriannya akan memberi kerjasama penuh kepada kakitangan PBB kerana Malaysia telah mendapat banyak manfaat daripada bantuan dan kerjasama yang disediakan oleh Program Pembangunan PBB (UNDP) dalam melaksanakan pelbagai program dan projek pembangunan.

Ujar beliau, dalam konteks yang lebih luas, Malaysia percaya bahawa PBB telah memainkan peranan penting dalam kerjasama antarabangsa berdasarkan undang-undang dan prinsip saling mernghormati.

“Sejak menyertai PBB pada September 1957, Malaysia menjadi anggota yang bergerak aktif dalam menegakkan tiga teras sistem PBB iaitu keamanan dan keselamatan; hak asasi manusia dan pembangunan semasa menjadi anggota tidak tetap dalam Majlis Keselamatan PBB pada 1965, 1989, 1999-2000 dan 2015-2016.

“Malaysia juga telah menyertai misi pengaman PBB sejak 1960 meliputi 36 misi melibatkan penyertaan lebih 35,000 anggota tentera dan polis,” kata ketika berucap pada Majlis Perasmian Pejabat baharu PBB di Menara PJH, Presint 2 di sini semalam.

Sebelum ini, PBB beroperasi di Wisma UN di Damansara Heights, Kuala Lumpur yang beroperasi sejak tahun 1988.

Kompleks baharu itu juga menempatkan Pejabat Penyelaras Residen PBB (RCO), UNDP, Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNFPA) dan United Nations University-Administration and United Nations Conference on Trade and Development-Automated System for Customs Data (UNCTAD-ASYCUDA).

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Penyelaras Residen PBB bagi Malaysia, Stefan Priesner, Wakil UNICEF Marianne Clark-Hattingh dan Wakil UNFPA ke Malaysia, Marcela Suazo. - K! ONLINE